Thursday, April 16, 2009

Sejarah Laksamana Cheng Ho

LAKSAMANA HAJI MUHAMMAD CHENG HO adalah pembesar terkenal dalam sejarah umat Islam di negara China. Beliau juga mendapat kedudukan yang istimewa dalam masyarakat kita. Namanya disebut-sebut di dalam Sejarah Melayu sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Hang Li Po bagi dikahwinkan dengan Sultan Mansur Syah pemerintah empayar Melaka. Laksamana Haji Muhammad Cheng Ho dilahirkan pada tahun 1371 di Kunming, Yunnan. Bapanya merupakan seorang yang teguh berpegang kepada ajaran agama Islam. Walaupun memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, Laksamana Cheng Ho tidak pernah mengabaikan kewajipan sebagai seorang Islam. Setiap kali hendak memulakan pelayarannya, beliau dan para anak kapal yang beragama Islam mendirikan solat terlebih dahulu memohon rahmat dan perlindungan daripada Allah.


Pelayaran-pelayaran Laksamana Cheng Ho bukan sahaja telah berjaya mengeratkan hubungan diplomat dan perdagangan tetapi juga meggalakkan hubungan kebudayaan di antara China dengan Negara-negara lain. Satu lagi perkara yang jarang diperkatakan tentang Laksamana Haji Muhammad Cheng Ho ialah penglibatannya dalam penyebaran Islam dan usaha-usaha dakwah Islam di kawasan yang dilawatinya terutamanya di Asia Tenggara. Sumbangan beliau dalam bidang dakwah sebenarnya besar. Beliau meninggalkan para pengikut seperti di Semarang di Indonesia dan Melaka untuk berdakwah. Maka wajarlah beliau dikatakan ilmuan Islam. Semasa di Mekah, beliau menunaikan haji sebelum meneruskan perjalanannya ke pantai timur Afrika. Monumen Laksamana Cheng Ho didirikan di Somalia membuktikan beliau pernah sampai ke Negara itu. Kemampuan Laksamana Cheng Ho memimpin armada yang sebegitu besar membuktikan kempimpinannya yang tinggi. Beliau mengangkat martabat Umat Islam di sisi Dinasti Ming. Pelayaran Laksamana Cheng Ho meninggalkan banyak kesan positif dalam sosio-ekonomi, politik dan dakwah serta menjadi bukti betapa umat Islam boleh melaksanakan tugas dan peranan yang diberikan dengan baik.

Dalam pelayaran kelimanya yang mengambil masa antara tahun 1417 hingga 1419, Laksamana Cheng Ho sekali lagi mengunjungi Negara Arab dan Afrika Timur. Semasa di Mekah beliau menunaikan haji buat kali yang kedua. Pelayaran kali ketujuh meliputi 3 benua iaitu Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika. Beberapa kajian terkini menobatkan beliau sebagai orang yang pertama mengelilingi dunia. Ada sarjana yang mengatakan kemungkinan Laksamana Cheng Ho adalah orang yang pertama menemui benua Amerika bukannya Christopher Columbus seperti yang diwar-warkan selama ini. Penemuan yang dilakukan oleh Laksamana Cheng Ho adalah 87 tahun lebih awal daripada pelayar dari Portugal itu. Jika benar pendapat itu, maka sejarah dunia perlu ditulis semula dan peta pelayaran perlu diubah. Sayang bagi kita kerana beberapa catatan pelayaran beliau telah hilang dan ini adalah satu kerugian untuk umat Islam dan Negara China dan warisan tamadun manusia seluruhnya.

Selang 2 tahun selepas pulang daripada pelayaran pada tahun 1433, beliau meninggal dunia dan disemadikan di Kunming. Al-fatihah untuk ilmuan islam kita Laksamana Haji Muhammad Cheng Ho.

1 comment:

  1. berbesar hati baca sejarah agung tanah melayu yg ada hubungkait dengan islam.

    ReplyDelete